Novelet: Secubit Kasih Segenggam Sayang 9
Jumaat, 13 Oktober 2017 |
Oktober 13, 2017 | 0comments
BAB 9
“U
|
HUK..Uhuk..” batuk Raziah makin menjadi-jadi pula sejak
kebelakangan ini. Dada yang terasa sesak diurut untuk melegakan pernafasannya.
Puan Zainab yang memerhati dari
katil hanya melepaskan keluhan. Dia silap menilai Raziah. Wanita itu merupakan
menantu yang sangat baik. Buktinya Raziah sanggup menjaganya di hospital.
“Yah..” panggil Puan Zainab tidak
bermaya. Dia disahkan menghidap strok. Tutur katanya juga sukar difahami kerana
mulutnya telah senget akibat serangan strok tersebut. Riziahlah yang
menguruskan dirinya selama dia di hospital.
“Ya mak? Mak nak makan?” Raziah
melemparkan senyuman nipis. Kerongkongnya terasa pedih. Bekas jahitan di
dadanya juga terasa berdenyut-denyut.
“Terima kasih Yah” ucap Puan Zainab
ikhlas.
“Mak tak perlu berterima kasih
dengan Yah. Yah yang perlu ucap terima kasih pada mak sebab sudi terima Yah
sebagai menantu yang diiktiraf walaupun baru beberapa minggu”
Puan Zainab senyum. Pandangan
dihalakan ke sofa. Susuk tubuh Rahman tidak kelihatan, kemanakah anak lelakinya
itu pergi?
“Rahman solat kejap mak, Uteh sudah
ada di kampung. Dia ikut Pak Man teksi balik, hari Isnin nanti dia ada ujian di
sekolah. Itu yang dia terpaksa pulang awal” ujar Raziah setelah mengerti
pandangan Puan Zainab.
“Yah, harta mak serahkah pada kamu
berdua” Puan Zainab berusaha untuk bertutur.
“Apa ni mak? Kami tak harapkan
apa-apa pun”
“Mak masih belum ubah nama Rahman.
Kalau apa-apa berlaku, kamu gunalah” sesekali Puan Zainab melepaskan lelah
berbicara. Dalam keadaan mulut yang senget, sangat sukar untuk dia berbicara
dengan betul.
“Yah belum solat kan?” Puan Zainab
sengaja alih topik.
Raziah sekadar menggeleng. Memang
betul dia belum menunaikan solat asar lagi. Jam telah berganjak ke 5 petang.
“Kalau macam tu Yah pergi solat dulu
ya” Raziah bangun. Kepala yang pening tidak dihiraukan. Baru sahaja kaki hendak
melangkah keluar wad, Raziah jatuh pengsan. Puan Zainab berusaha memanggil
jururawat yang bertugas. Malangnya tiada siapa yang mendengar. Dengan kudrat
yang masih bersisa, dia mangangkat tangan menekan butang kecemasan di tepi
katil. Akibat tersalah langkah, Puan Zainab jatuh tertiarap menyembah bumi.
Kalimah Lailahaillah meniti di
bibir. Dia redha andai ajalnya diambil ketika ini. Dia sudah mampu pergi dengan
tenang setelah segala dendam terungkai.
Jururawat segera datang ke wad yang
didiami Puan Zainab. Sudahlah wad itu dia seorang sahaja yang duduk, jika ada
pun pesakit lain sudah discharge pagi tadi. Melihat dua jasad yang menyembah
bumi, jururawat tersebut bertindak pantas dengan memanggil rakan sekerjanya.
Rahman yang
baru tiba setelah menunaikan solat agak terkejut dengan kekecohan yang berlaku
di Wad Delima. Apa yang berlaku?
Melihat jasad Raziah dan emaknya
diusung pergi ke wad kecemasan, sedarlah Rahman bahawa kecelakaan telah menimpa
mereka. Dia terduduk di tepi pintu dan memegang kepala yang terasa kusut. Ya
Allah...
“Encik waris pesakit?” tanya salah seorang
jururawat. Rahman sekadar mengangguk. Tiada kata yang mampu diluahkan ketika
ini. Jantungnya berdegup laju. Hati tidak putus-putus berdoa kepada Allah.
“Isteri encik dan pesakit dipercayai
terjatuh dan pengsan. Kami akan bawa mereka ke wad kecemasan. Minta encik
tunggu di sana ya” pesan jururawat itu sebelum berlalu pergi. Rahman menangis,
terasa sekejap masa yang Allah beri untuk dia bermanja dengan emaknya.
Banyaknya dosa dia. Mujur Allah pinjamkan Puan Zainab seketika, sempatlah dia
meminta maaf.
TANAH kubur yang masih merah itu direnung penuh sayu. Rahman
menguis-nguis tanah itu seolah-olah sedang membelai rambut emaknya. Tenanglah
emak di sana, Rahman sentiasa mendoakan emak. Rahman bangkit dari duduk dan
berlalu ke arah Uteh.
Kelihatan Uteh memeluk erat kubur
tersebut seperti memeluk emaknya. Air mata tidak berhenti-henti membasahi pipi.
Uteh mengomel sendirian, mengadu kepada emaknya tentang hari-harinya yang
berlalu. Memang itulah kebiasaNnya, bercerita apa sahaja yang berlaku kepada Raziah.
“Uteh, mari balik” ajak Rahman.
Uteh angkat kepala. Rambut yang
terkena tanah merah itu dibiarkan sahaja. Tanah kubur emak.
“Okay” balasnya pendek lalu bangun.
Rahman melipat tikar yang digunakan
oleh Uteh. Dia tahu Uteh bersedih tapi apakan daya, kuasa Allah menandingi
segala-galanya.
“Mak, Nenek. Nanti Uteh datang
melawat lagi” Uteh pandang kubur emak dan neneknya yang terletak selang
beberapa buah kubur lain.
Kereta mewah milik Puan Zainab
terparkir elok di luar pagar kawasan perkuburan. Rahman segera membuka pintu
dan membenarkan Uteh masuk ke dalam perut kereta. Perlahan-lahan dia pandu
merentasi jalan kampung yang berliku.
Bukan harta yang dipandangnya tetapi
memandangkan dia hanya satu-satu waris yang tinggal, Rahman terima juga. Itupun
separuh dari harga yang ditinggalkan emaknya telah selamat diinfaqkan ke rumah
anak-anak yatim yang memerlukan. Separuh lagi adalah untuk kegunaan
persekolahan Uteh. Sebaik sahaja sampai di teratak buruknya, Rahman melepaskan
keluhan kecil. Terasa kehilangan, selalunya ada Raziah yang menjadi penghibur
hati. Moga awak tenang di sana Yah.