Novelet: Secubit Kasih Segenggam Sayang 7
Jumaat, 13 Oktober 2017 |
Oktober 13, 2017 | 2comments
BAB 7
S
|
ENJA sudahpun hendak melabuhkan tirai. Langit cerah
bertukar-tukar merah. Burung-burung pun pulang ke sarang. Raziah mengintai di
ingkat rumah. Riak wajahnya bimbang. Pintu jendela ditutup. Maghrib-maghrib
begini tak elok dibiarkan terbuka.
Rahman yang baru keluar dari bilik
sambil membetulkan baju melayunya memandang Raziah penuh tertanya-tanya.
“Uteh mana Yah? Dari petang tadi tak
nampak lagi” Rahman berkerut. Jarang sekali Uteh pulang lewat ke rumah kecuali
ada latihan bola sepak di sekolah.
“Itu yang saya risaukan bang. Dari
tadi Uteh tak balik-balik. Petang tadi saya tanya Man anak Pak Wahid, dia cakap
di sekolah tiada apa-apa latihan sukan” Raziah risau. Bening matanya menakung
air mata. Tak pernah rasa sebegini sebelum ini. jika inilah perasan yang bakal
dia rasa ketika melepaskan Uteh pergi, dia tidak sanggup.
“Awak pergi bersiap sekarang Yah,
kita cari Uteh di sungai. Kot-kot dia mandi sungai” Rahman memberi arahan.
Raziah berlari ke bilik seraya menukar pakaian yang lebih sopan.
Rahman turun ke bawah rumah dan
menuntun basikal tua keluar dari ruang bawah tersebut. Dia yang menunggu Raziah
diluar rumah sudah panas punggung. Lama pula Raziah ini. Baru sahaja hendak
memanggil Raziah, isterinya itu terkocoh-kocoh menutup pintu rumah.
“Lekas bang, hari sudah gelap”
Raziah melabuhkan duduk di tempat duduk belakang. Segera Rahman mengayuh
basikal tuanya menyelusuri jalan kampung yang berlopak sana sini. Peluh yang
merinik membasahi wajahnya diabaikan. Degupan jantung Rahman sangat laju ketika
ini. Masakan tidak, Uth satu-satunya permata hati dia dan Raziah.
Sebaik sahaja sampai di sungai,
Raziah segera turun lalu melaung nama Uteh. Dengan esak tangis yang mula
kedengaran, Raziah kuatkan juga hatinya untuk memanggil Uteh.
Rahman pula mencari di bahagian
batu-batuan. Pernah ada kes dimana seorang pemuda dari kampung sebelah ditemui
di celah batu akibat lemas. Nauzubillah, Rahman tidak mahu perkara itu berlaku
kepada anaknya.
Ya Allah, selamatkanlah Uteh dimana
sekalipun dia berada. Kau yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Doa Rahman
dalam hati.
“Uteh! Utehhh..mana kamu
nak..baliklah” rintihan Raziah makin sayu. Akhirnya dia mengatur langkah ke
arah suaminya.
“Bang, macam mana ni bang? Semua ni
salah saya kan bang. Mungkin Uteh sedih lepas dengar saya nak bagi nenek dia
jaga di kota sana. Silap saya bang! Silap saya!” Raziah sudah hilang kawalan.
Rahman terhenyak. Suatu nama meniti
di kepalanya.
“Yah, kita kena balik Yah. Kita
solat maghrib dulu nanti saya pergi rumah Pak Man teksi, mintak dia tolong bawa
kita. Saya dah tahu Uteh dekat mana” Rahman bersuara tegas. Dia mengetap
bibirnya. Makin dibiarkan, makin menjadi-jadi pula.
“Abang tahu Uteh di mana?” Raziah
mengesat air mata. Matanya memandang Rahman penuh mengharap.
“Lekas naik Yah, maghrib-maghrib tak
elok di luar rumah” Rahman bersuara. Raziah segera menurutnya. Laju Rahman
mengayuh pulang ke rumah.
Mereka naik ke atas rumah. Azan yang
bakal dilaungkan terasa begitu lambat pula hari ini. Raziah sudah siap sedia
dengan telekungnya. Dia mahu segera solat dan keluar mencari Uteh.
“Solat biar khusyuk, jangan
tergesa-gesa sangat. Doa mintak Allah pelihara Uteh dimana pun dia berada”
pesan Rahman. Raziah terhenyak. Ada betul kata suaminya itu.
Solat maghrib yang diimankan oleh
Rahman terasa begitu syahdu tanpa kehadiran Uteh. Suami isteri itu tenggelam
dalam dunia mereka bertemu Sang Pencipta.
“ASSALAMUALAIKUM...” teriak Rahman ketika tiba di rumah Pak Man Teksi. Raziah
yang mengekor dari belakang hanya diam dan menitiskan air mata. Sesekali dia
mengesatnya dengan hujung tudung bawal lusuhnya.
“Waalikumussalam. Ha kamu Rahman,
ada apa ke mari?” Pak Man membuka pintu rumah. Pelik juga dia melihat Rahman
dan Raziah datang ke rumahnya waktu-waktu begini.
“Pak Man, saya nak minta tolong
hantarkan kami ke Kuala Lumpur. Nak naik bas pun tiada waktu-waktu begini”
“Apa ke hal pulaknya kamu berdua
sampai nak ke Kuala Lumpur? Ni Uteh mana?” soal Pak Man apabila menyedari hanya
mereka berdua sahaja yang datang.
“Uteh ada di sana” beritahu Rahman
pendek. Raziah tersentak.
“Kenapa pulak?” Pak Man berkerut.
“Cepat Pak Man, kami tiada masa ni.
Saya risau kalau Uteh dibawa ke lain pula. Nanti dalam kereta saya cerita dekat
Pak Man apa yang berlaku”
“Ha yelah. Kamu tunggu sekejap aku
tukar kain pelikat ni” Pak Man segera masuk ke dalam rumah dan menukar kain
pelikatnya kepada seluar. Laju sahaja dia bersiap. Risau juga dia dibuatnya
jika Uteh berada di Kuala Lumpur seorang diri. Zaman sekarang macam-macam boleh
berlaku.
Pak Man menyelusuri pekat malam
menuju ke kota gah sana sambil ditemani Rahman dan Raziah. Rahman membuka
cerita mengenai berita kehilangan Uteh dan kejadian yang berlaku sebelumnya.
Bukan niat Rahman hendak membuka pekung di dada tetapi dadanya sudah terlalu
sesak. Dia perlukan nasihat orang yang lebih tua.
Sesekali tergeleng-geleng kepala Pak
Man, mendengar dengan khusyuk kisah hidup penuh liku yang dilalui Rahman dan
Raziah. Tak sangka begitu berlikunya hidup pasangan itu.