NORMAH ZAINUL

Sexy Red Lips
Novelet: Secubit Kasih Segenggam Sayang 7
Jumaat, 13 Oktober 2017 | Oktober 13, 2017 | 2comments

BAB 7

S
ENJA sudahpun hendak melabuhkan tirai. Langit cerah bertukar-tukar merah. Burung-burung pun pulang ke sarang. Raziah mengintai di ingkat rumah. Riak wajahnya bimbang. Pintu jendela ditutup. Maghrib-maghrib begini tak elok dibiarkan terbuka.
            Rahman yang baru keluar dari bilik sambil membetulkan baju melayunya memandang Raziah penuh tertanya-tanya.
            “Uteh mana Yah? Dari petang tadi tak nampak lagi” Rahman berkerut. Jarang sekali Uteh pulang lewat ke rumah kecuali ada latihan bola sepak di sekolah.
            “Itu yang saya risaukan bang. Dari tadi Uteh tak balik-balik. Petang tadi saya tanya Man anak Pak Wahid, dia cakap di sekolah tiada apa-apa latihan sukan” Raziah risau. Bening matanya menakung air mata. Tak pernah rasa sebegini sebelum ini. jika inilah perasan yang bakal dia rasa ketika melepaskan Uteh pergi, dia tidak sanggup.
            “Awak pergi bersiap sekarang Yah, kita cari Uteh di sungai. Kot-kot dia mandi sungai” Rahman memberi arahan. Raziah berlari ke bilik seraya menukar pakaian yang lebih sopan.
            Rahman turun ke bawah rumah dan menuntun basikal tua keluar dari ruang bawah tersebut. Dia yang menunggu Raziah diluar rumah sudah panas punggung. Lama pula Raziah ini. Baru sahaja hendak memanggil Raziah, isterinya itu terkocoh-kocoh menutup pintu rumah.
            “Lekas bang, hari sudah gelap” Raziah melabuhkan duduk di tempat duduk belakang. Segera Rahman mengayuh basikal tuanya menyelusuri jalan kampung yang berlopak sana sini. Peluh yang merinik membasahi wajahnya diabaikan. Degupan jantung Rahman sangat laju ketika ini. Masakan tidak, Uth satu-satunya permata hati dia dan Raziah.
            Sebaik sahaja sampai di sungai, Raziah segera turun lalu melaung nama Uteh. Dengan esak tangis yang mula kedengaran, Raziah kuatkan juga hatinya untuk memanggil Uteh.
            Rahman pula mencari di bahagian batu-batuan. Pernah ada kes dimana seorang pemuda dari kampung sebelah ditemui di celah batu akibat lemas. Nauzubillah, Rahman tidak mahu perkara itu berlaku kepada anaknya.
            Ya Allah, selamatkanlah Uteh dimana sekalipun dia berada. Kau yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Doa Rahman dalam hati.
            “Uteh! Utehhh..mana kamu nak..baliklah” rintihan Raziah makin sayu. Akhirnya dia mengatur langkah ke arah suaminya.
            “Bang, macam mana ni bang? Semua ni salah saya kan bang. Mungkin Uteh sedih lepas dengar saya nak bagi nenek dia jaga di kota sana. Silap saya bang! Silap saya!” Raziah sudah hilang kawalan.
            Rahman terhenyak. Suatu nama meniti di kepalanya.

            “Yah, kita kena balik Yah. Kita solat maghrib dulu nanti saya pergi rumah Pak Man teksi, mintak dia tolong bawa kita. Saya dah tahu Uteh dekat mana” Rahman bersuara tegas. Dia mengetap bibirnya. Makin dibiarkan, makin menjadi-jadi pula.
            “Abang tahu Uteh di mana?” Raziah mengesat air mata. Matanya memandang Rahman penuh mengharap.
            “Lekas naik Yah, maghrib-maghrib tak elok di luar rumah” Rahman bersuara. Raziah segera menurutnya. Laju Rahman mengayuh pulang ke rumah.
            Mereka naik ke atas rumah. Azan yang bakal dilaungkan terasa begitu lambat pula hari ini. Raziah sudah siap sedia dengan telekungnya. Dia mahu segera solat dan keluar mencari Uteh.
            “Solat biar khusyuk, jangan tergesa-gesa sangat. Doa mintak Allah pelihara Uteh dimana pun dia berada” pesan Rahman. Raziah terhenyak. Ada betul kata suaminya itu.
            Solat maghrib yang diimankan oleh Rahman terasa begitu syahdu tanpa kehadiran Uteh. Suami isteri itu tenggelam dalam dunia mereka bertemu Sang Pencipta.


“ASSALAMUALAIKUM...” teriak Rahman ketika tiba di rumah Pak Man Teksi. Raziah yang mengekor dari belakang hanya diam dan menitiskan air mata. Sesekali dia mengesatnya dengan hujung tudung bawal lusuhnya.
            “Waalikumussalam. Ha kamu Rahman, ada apa ke mari?” Pak Man membuka pintu rumah. Pelik juga dia melihat Rahman dan Raziah datang ke rumahnya waktu-waktu begini.
            “Pak Man, saya nak minta tolong hantarkan kami ke Kuala Lumpur. Nak naik bas pun tiada waktu-waktu begini”
            “Apa ke hal pulaknya kamu berdua sampai nak ke Kuala Lumpur? Ni Uteh mana?” soal Pak Man apabila menyedari hanya mereka berdua sahaja yang datang.
            “Uteh ada di sana” beritahu Rahman pendek. Raziah tersentak.
            “Kenapa pulak?” Pak Man berkerut.
            “Cepat Pak Man, kami tiada masa ni. Saya risau kalau Uteh dibawa ke lain pula. Nanti dalam kereta saya cerita dekat Pak Man apa yang berlaku”
            “Ha yelah. Kamu tunggu sekejap aku tukar kain pelikat ni” Pak Man segera masuk ke dalam rumah dan menukar kain pelikatnya kepada seluar. Laju sahaja dia bersiap. Risau juga dia dibuatnya jika Uteh berada di Kuala Lumpur seorang diri. Zaman sekarang macam-macam boleh berlaku.
            Pak Man menyelusuri pekat malam menuju ke kota gah sana sambil ditemani Rahman dan Raziah. Rahman membuka cerita mengenai berita kehilangan Uteh dan kejadian yang berlaku sebelumnya. Bukan niat Rahman hendak membuka pekung di dada tetapi dadanya sudah terlalu sesak. Dia perlukan nasihat orang yang lebih tua.
            Sesekali tergeleng-geleng kepala Pak Man, mendengar dengan khusyuk kisah hidup penuh liku yang dilalui Rahman dan Raziah. Tak sangka begitu berlikunya hidup pasangan itu.

Older Post | Newer Post
Queen Of The Blog
Normah Zainul | 20 y/o | IPTA- somewhere in East Coast of Malaysia | Graduate soon | Love travel | Love history| Love writing | Love food

Quotes Of The Day
Writing is an exploration. You start from nothing and you learn as you go