Ahad, 7 Mei 2017

Novelet: Secubit Kasih Segenggam Sayang 1

Posted by Normah Zainul at Ahad, Mei 07, 2017
Reactions: 


BAB 1


“S
AYA tak minta pun duit awak. Saya boleh cari sendiri, kudrat saya masih kuat untuk membanting tulang. Awak simpanlah duit awak itu, mana tahu esok lusa awak sakit semula. Boleh juga guna duit itu beli ubat..” Rahman mengibas-ngibaskan badannya yang kepanasan setelah pulang dari menoreh getah.
            Raziah kembali menyimpan wang yang dihulurkan kepada suaminya sebentar tadi. Niatnya hanya satu. Cuma mahu membantu suami yang perit jerih bekerja menampung perbelanjaan mereka.
            “Semua ni salah saya kan bang. Kalaulah dulu saya dengar cakap arwah mak supaya jangan kahwin dengan abang, abang mesti takkan hidup miskin macam ni” Raziah duduk di tangga rumah sambil mengenang masa silam.
            “Awak menyesal kahwin dengan saya ke Yah?” soal Rahman yang berdiri di sisi basikalnya. Langkah terhenti selepas mendengar bicara Raziah sebentar tadi.
            “Tak bang, saya sama sekali tak menyesal. Cuma saya terkilan. Sebab saya, abang terpaksa hidup susah payah macam ini” Raziah membetulkan kembali ayatnya sebentar tadi. Bimbang si suami terasa hati.
            “Tak usahlah dikenang Yah, kita dah berkahwin dah pun. Inilah takdir kita, Tuhan uji sebab DIA nak tengok sejauh mana kemampuan kita..” Rahman menuntun basikal tuanya masuk ke bawah rumah. Dia malas hendak mengungkit kisah lama. Baginya yang lama itu biarkan berkubur begitu sahaja.
            “Yelah..”balas Raziah pendek.


            “Bang, kalau saya kerja boleh? Kerja biasa je bang, dekat warung Mak Limah tu..” soal Raziah. Rahman berkerut.
            “Saya bukannya tak nak bagi tapi awak tahu kan yang awak tak sihat. Saya tak nak perkara buruk terjadi, awak duduklah rumah. Biar saya yang cari duit bagi makan kita sekeluarga..” Rahman naik ke atas rumah.
            “Tapi bang, saya kan dah sihat. Ni buktinya, saya masih mampu berdiri sambil senyum depan abang” Raziah tayang sengih.
            “Hmm, saya risau dekat awak. Awak tu bukannya boleh percaya sangat, kadang sakit simpan sendiri saja” cebik Rahman. Kenal benar dengan sikap Raziah. Suka berahsia.
            “Kalau begitu cakap abang, tak apalah. Saya duduk di rumah sahaja” suara Raziah sedikit berjauh hati.
            Rahman sekadar mengangguk. Semoga isterinya faham akan niatnya itu.
            Raziah berlalu ke dapur. Dia akur dengan arahan suaminya. Dia tahu Rahman risau akan kesihatannnya. Tapi percayalah, dia sudah sihat. Buktinya, dia mampu bangun dan membuat kerja rumah.
            Periuk nasi dibuka, cukup untuk 2 orang makan sahaja. Raziah mengeluh. Inilah sebab dia mahu bekerja. Dia mahu membantu suaminya menambahkan perbelanjaan keluarga.
            Keluhan kecil terbit lagi. Tak mengapalah, ubi kayu pun masih ada di belakang rumah. Sebentar lagi, dia rebuslah buat alas perut.
            “Assalamualaikum…” jerit Uteh dari luar rumah. Peluh yang merecik di dahi segera disapu dengan belakang tangan. Beg yang tergalas di bahu diletakkan di tepi pintu rumah. Kasut dibuka dan Uteh melangkah masuk ke dalam rumah.
            “Waalaikumussalam..Macam mana belajar Uteh?” soal Rahman sambil mengusap-ngusap kepala anaknya.
            “Belajar okey abah, hari ini Uteh belajar macam mana nak cakap bahasa Inggeris..” Uteh petah berbicara. Raziah mendapatkan anaknya dan wajah Uteh yang kepenatan itu ditatap lembut. Dia tahu Uteh penat, penat berjalan sepanjang 2 km dari sekolah ke rumah.
            “Macam mana nak cakap tu Uteh? Cuba ajar Abah sikit” Rahman berborak dengan anaknya.
            “Senang je bah. Kalau nak makan nasi, cakap ‘I want to eat rice’. Haaa” ajar Uteh.
            “I wenn..I wen apa?” Rahman gagap. Sengaja mengusik anaknya itu. Bukannya dia tidak tahu berbahasa Inggeris. Dulu, dia juga belajar sikit-sikit semasa bekerja di Singapura.
            “Haha..bukan I Wen lah bah. I want to eat rice” Uteh gelak.
            “Belajar rajin-rajin Uteh, banggakan mak abah” pesan Rahman sambil tersenyum manis. Uteh satu-satunya anak dia dan Raziah. Harapan diletakkan sepenuhnya di bahu Uteh.
            “Bang, Uteh mari makan. Hari ini mak masakkan telur goreng dan sayur pucuk ubi rebus kegemaran Uteh. Uteh suka kan?” Raziah yang baru keluar dari dapur segera menghampiri mereka. Sempat juga dia mendengar perbualan dua beranak itu.
            “Uteh suka mak. Sedap!” Uteh menanggalkan bajunya dan berlari ke dapur. Raziah yang melihat keletah anaknya tersenyum penuh sayu. Hidup Uteh tidak seperti anak-anak lain. Makannya hanya telur dan sayur kampung. Tiada ayam penyedap rasa, tiada makanan laut pembuka selera.
            Airmata yang bergenang di tubir mata tumpah di pipi Raziah. Apalah nasib hidup mereka sekeluarga.
            “Sudahlah tu, tak elok menangis macam ni. Nanti kalau nampak dekat Uteh, dia pasti akan banyak soal. Terimalah qada’ dan qadar Illahi. Ketentuan kita sudah ditetapkan begini.” Rahman membawa langkah ke dapur rumah usang ini. Rumah peninggalan arwah emak Raziah. Dia tahu Raziah sayu melihat keletah Uteh yang terpaksa mengharungi kesusahan hidup tatkala umur masih setahun jagung.  
            “Uteh, abah minta maaf tak dapat sediakan makanan yang lazat-lazat untuk Uteh..” Rahman mengusap-ngusap kepala anaknya. Raziah melabuhkan duduk di sebelah Uteh.
            “Tak apa, Uteh suka makan macam ni. Cikgu kata kalau miskin duit tak apa asalkan kaya kasih sayang. Uteh sayang mak dengan abah” Uteh berbicara jujur. Nasi bersulamkan air kosong disertai pucuk ubi rebus dan telur goreng menjadi santapan Uteh. Enak sekali apabila makanan tersebut masuk ke dalam tekaknya.
            “Bang, makanlah. Saya makan sekejap lagi” ujar Raziah. Perut yang berkeroncong dibiarkan sahaja.
            Keluhan terbit di bibir Rahman.
            “Saya tahu beras dah habis kan? Awak makalah Yah, saya makan petang nanti. Sekejap lagi saya ke kedai beli beras…” Rahman menolak pinggan berisi nasi ke arah Raziah.
            “Abang makanlah. Yah duduk rumah sahaja, tak buat kerja sangat pun. Abang baru balik menoreh takkan tak makan..” Raziah simpati akan suaminya. Sudahlah pagi tadi Rahman tidak sempat mengalas perutnya.
            “Awak tu sakit. Tak usahlah peduli saya, pandailah saya cari makan nanti. Ni ha, makan..Kasihan Uteh makan seorang” Rahman memujuk isterinya. Raziah akur.Pinggan nasi di depannya ditarik perlahan. Tangan dicelup di dalam bekas basuh tangan. Doa makan dibaca bagi memberkati rezeki mereka hari itu.
            “Mak, abah..Kalau Uteh kaya kan..Uteh nak buat rumah besar. Besar 4 tingkat, pasti Uteh nak letak lif. Nanti mak dengan abah tak payah naik tangga, naik lif saja. Lepas itu, Uteh nak bina kolam renang besar. Nanti kita main air sama-sama ye mak, abah” cerita Uteh sambil mulut penuh dengan nasi. Rahman dan Raziah tersenyum sambil menangguk. Besar impian anaknya itu. Entah sempat entah tidak mereka lihat kejayaan Uteh. 

2 ulasan:

  1. fara raihana9/5/17

    cerita baru ke dear? OMG!! best. next chapter please

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama10/5/17

    menarik. sambung lagi

    BalasPadam

Hye Assalamualaikum.. Takkan jadi silent reader je. Mai la komen ye ;)

 

Dunia Cik Writer Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea