NORMAH ZAINUL

Sexy Red Lips
Mini Novel: Encik Pemilik Hati 3
Isnin, 11 April 2016 | April 11, 2016 | 4comments

 AMANDA masuk ke dapur dengan wajah sememeh. Rambutnya agak berserabai dan tidak terurus. Sesekali dia menutup mulutnya apabila menguap. Bau yang mengharumkan membuat perutnya berkeroncong sakan.
            Puan Hamidah mengacau ayam rendang di dalam kuali. Api diperlahankan agar rendang tidak hangit. Amanda segera menghampiri Puan Hamidah dan memeluknya dari belakang.
            “Isy, kamu ni dah kenapa Aman? Busuk-busuk peluk orang. Pergi mandi sana. Ayam rendang ni pun dah mandi tahu..” Puan Hamidah merenggangkan pelukan anaknya. Amanda mencebik.
            “Peluk sikit pun dah tak boleh. Tahulah kita ni busuk. Busuk-busuk ni jugalah yang mak rindu nanti”
            “Tak payah nak muncung sangat. Nanti mak kerat campak dalam rendang ni. Nak?” ugut Puan Hamidah bergurau.
            Amanda segera memegang muncungnya. Bukan boleh percaya Cikgu Midah, kalau dia buat sungguh, naya je!
            “Pergilah mandi tu Aman oi. Sekejap lagi ada orang jauh nak datang. Kamu tolong mak buat air ye” Puan Hamidah bergerak ke sinki. Set gelas yang dibelinya di Hong Kong dibasuh dengan berhati-hati. Tetamu istimewa nak datang kenalah layan istimewa.

            Amanda segera mengelat keluar dari dapur. “Aman tak boleh tolong mak, Aman tak mandi lagi. Kejap lagi Aman nak keluar” laung Aman dari jauh. Puan Hamidah mencebik. Bertuah punya anak!
            Puan Hamidah menyiapkan bahan-bahan untuk membuat puding roti sementara menunggu rendangnya kering. Hatinya berbunga riang. Tetamu istimewa datangnya dari jauh. Datang bersua muka setelah lama tidak berjumpa. Tak sabar Puan Hamidah hendak bercerita sakan dengan tetamu itu.

FIQRI membetulkan rambutnya. Gel ditambah agar rambutnya berdiri tegak. Kasi tambah banyak-banyak barulah naik motor nanti rambut tak ‘layu’. Selesai bersiap di hadapan cermin, Fiqri mula melangkah keluar dari rumah.
Emaknya yang sedang meraut daun kelapa di atas pangkin memandang hairan. Wangi-wangi, smart-smart nak ke mana pula anak bujang ini.
            “Kamu nak ke mana Pik? Wangi-wangi kemain lagi” tegur emaknya hairan.
            “Nak pergi pekan dengan Aman sekejap mak. Dia ajak pergi tengok wayang” jawab Fiqri sambil membetulkan kolar bajunya. Sudah menjadi stailnya untuk sentiasa kemas jika hendak ke mana-mana melainkan jalan-jalan di kampung.
            “Mak tegur sikit ni jangan marah ye. Mak bukan apa, mak cuma tak selesa kamu berkawan dengan Aman tu. Kamu tahukan perangai dia macam mana? Mak tak nak lah nanti Cikgu Midah kata kamu yang bawa pengaruh rock tu kat anak dia..” emaknya mengeluh. Daun kelapa diletakkan di lantai. Pisau juga. Kaki dilunjurkan bagi menghilangkan lenguh setelah lama duduk bersila.
            Fiqri melabuhkan duduk di sebelah emaknya. Kaki tua itu diurut lembut. Penuh dengan kasih sayang. Fiqri melemparkan senyuman manis kepada emaknya.
            “Pik faham perasaan mak. Mak jangan risau, Pik tahu jaga batas-batas pergaulan. Lagipun si Aman tu memang dalam perut lagi dah rock. Cikgu Midah yang lahir dan besarkan dia, dia tahu perangai anaknya.. Mak jangan risau ya” Fiqri menenangkan jiwa emaknya yang resah. Emaknya senyum nipis.
            “Okaylah mak, Pik dah nak kena gerak ni nanti bising si Aman tu kalau lambat” Fiqri sempat menghadiahkan ciuman di pipi emaknya.
            “Hati-hati Pik, motor buruk arwah abah kamu tu bukannya boleh dipercayai sangat. Karang tengah-tengah bawa ada yang gugur enjos tengah jalan” pesan emaknya.
            Fiqri gelak kuat. “Ekzos mak bukan enjos. Motor ni Pik dah servis semalam. gerenti tip top”
            “Apa-apa sajalah Pik oi, janji bunyi sudah”
            Motor honda itu dihidupkan. Alhamdulillah, nasib baik sihat motor ini. Fiqri melambaikan tangan kepadanya emaknya. Deruan motor Honda tersebut membelah kesunyian jalan kampung.

AMANDA merengus geram. Jam di pergelangan tangan dikerling. Lambat! Fiqri suka mungkir janji. Kata pukul 9 pagi tapi dah pukul 9.05 minit pun belum nampak batang hidung lagi. Aman mengepal-ngepal penumbuknya. Panas tangan.
            “Ha nak ke mana pulak tu Aman?” tegur Puan Hamidah di muka pintu. Apron yang dipakai masih melekat kemas di badannya.
            “Aman nak pergi pekan kejap mak. Cari barang..” jawab Amanda yang tiada mood.
            “Pergi dengan siapa? Fiqri? Ha elok sangatlah anak dara dengan anak teruna naik satu motor pusing keliling kampung. Suka ke nama mak dengan abah kena jaja orang?” sinis Puan Hamidah pedas.
            “Aman naik keretalah mak. Pinjam kereta abah” Amanda merengus. Sudahlah panas dengan Fiqri, ditambah pula dengan bebelan emak yang super spicy. Kalah ayam spicy Mc Donald.
            “Mana Fiqrinya?” Puan Hamidah menjenguk ke luar rumah.
            “Entahlah, lambat sangat. Janji pukul 9”
            “Dia tak datanglah tu. Sudahlah kamu pergi naik tukar baju. Cuci kolam ikan belakang rumah tu. Ada jugak faedahnya” arah Puan Hamidah dengan gaya komando askar.
            “Ee nanti-nantilah mak. Aman dah mandilah. Pagi tadi sebelum Aman mandi mak tak nak suruh..” elak Amanda.
            “Lima minit lagi kalau si Fiqri tu tak datang juga kamu masuk tukar baju, cuci kolam ikan tu. Jangan nak mengelak! Faham?!” tudiaaa! Arahan mandatori dari Cikgu Midah. Amanda senyap. Tahu yang dia tidak boleh melawan arahan itu.Cari maut..

KETIKA Fiqri sedang bergembira memulas tombol minyak ditemani dengan kicauan burung, tiba-tiba satu bunyi kuat singgah ke telinganya.
            Srettttt!
            Fiqri segera memberhentikan motornya. Dia mengurut dada untuk menghilangkan rasa terkejut. Tak semena-mena motornya terasa berat. Takkan ada hantu menumpang siang-siang begini?
            Fiqri malas ambil peduli, dia ingin meneruskan perjalanannya. Gear ditekan kehadapan. Sebaik sahaja gear 1 sudah masuk, tombil minyak dipulas.
            Streeettt!
            Sekali lagi bunyi itu singgah ke pendengarannya.
            Fiqri cuba untuk menguatkan diri. Dia berpaling ke belakang dan apabila sahaja matanya bertembung dengan objek yang menghasilkan bunyi pelik itu, Fiqri terasa hendak menjerit.
            Enjin motor dimatikan. Tongkat diturunkan. Fiqri memegang kepalanya yang terasa hendak meletup. Time-time macam inilah nak buat hal. Matilah dia dengan Aman! Mampus kena marah..
            Ekzos yang sudah meleret menyentuh tar itu membuatkan hati Fiqri bertambah panas. Disepak-sepaknya ekzos tersebut. Terasa hendak mengabdikan motor ini di dalam sawah sahaja. Buat kenangan!
Mulutnya mengomel sakan. Sesekali motor honda lama itu disepak-sepak. Hatinya panas membara. Benar kata emaknya, ekzos memang problem! Macam mana dia lupa nak ‘ikat’ ekzos motor lama itu? Sudahnya, dia terpaksa bersusah payah begini.
Tidak dapat tidak, dia harus menolak motor ini untuk ke rumah Amanda. Dalam hati dia berdoa agar Amanda tidak memarahinya. Aura marah Amanda menyerupai Cikgu Midah, mahu ada yang kena pelangkung nanti!
Fiqri terus menolak motor itu dan akhirnya dia berjaya tiba di hadapan rumah Amanda. Peluh yang membasahi tubuhnya berjaya menenggelamkan bau minyak wangi mahalnya. Fiqri telan liur. Dia nampak Amanda bangun dari gazebo dan menuju masuk ke dalam rumah.
“Aman!” panggilnya sambil berlari-lari menuntun motor lamanya. Amanda yang mendengar sahaja suara Fiqri terus berpaling. Larva di hatinya kembali meletus-letus.
“Kau ni pig! Memang nak kena dengan aku. Apasal kau lambat? Dahlah berbau, muka bercoreng. Teruklah kau!”Sembur Amanda sambil bercekak pinggang. Muka garangnya terpamer.
“Amboi, marah sangat sampai panggil aku pig! Aku bukan sengaja Aman, motor aku ni ha. Ekzos gugur dalam perjalanan tadi..” Fiqri memberitahu alasan sebenar.
“Hahahahaha” Amanda gelak kuat. Alasan Fiqri dirasakan terlalu lucu. Fiqri berkerut. Tadi nak marah, sekarang gelak pula? Perempuan memang complicated!
“Tak payah nak gelak besar sangat. Pergi naik atas tukar baju, then cuci kolam ikan kat belakang! Now!” sampuk Puan Hamidah di tingkap. Gelak Amanda serta merta berhenti. Wajah kembali serius.
“Sebab kau..sebab kau aku kena cuci kolam. Tak adil..tak adil!” marah Amanda.
“Ala sorrylah Aman, aku bukannya sengaja..”
Amanda menggeleng.                                                                    “Mak, Fiqri dengan sukarelanya nak tolong Aman cuci kolam” beritahu Amanda dengan wajah selamba. Fiqri terkejut.
“Ha... Elok sangatlah tu Fiqri. Nanti cikgu bagi baju lama abah Aman. Kamu tukar baju dekat bilik air belakang”
Dush!
Fiqri rasa macam kena baling dengan buah kepala di kepalanya. Tak pasal-pasal buat kerja lebih masa! Nak marah Amanda tapi takut dia yang kena marah dulu. Tidak dapat tidak, dia terpaksa menurut. Nasiblah jadi buruh paksa sekejap.


“NAH ambik berus ni, make sure kau berus bersih-bersih. Jangan ada lumut tepi-tepi dinding tu. Kalau tak keluar jugak lumut tu, korek guna kuku kau” arah Amanda seraya menghulurkan berus lantai kepada Fiqri.
            “Kejamnya kau Aman, kau sanggup biarkan kuku aku dinodai lumut yang hijau ni?” Fiqri buat-buat sedih. Baju yang tersarung di badan dibetul-betulkan. Besar pula baju abah Amanda ini.
            “Kejam tak kejam..Kau buat aku tertunggu-tunggu lagi kejam. Sudah, buat kerja jangan banyak cakap..” Amanda duduk di atas kerusi sambil menyaksikan Fiqri yang terkial-kial membuka lubang air untuk membolehkan air kolam mengalir keluar.
            “Amboi, sedapnya duduk bersila panggung dekat sini sambil tengok orang lain buat kerja!” Puan Hamidah yang mengendap diam-diam muncul di belakang Amanda. Telinga anaknya itu ditarik kuat.
            “Aduh mak, sakit mak!” jerit Amanda.
            “Pergi turun sekarang! Basuh sekali, jangan pandai-pandai nak arah orang buat itu ini. Buat sekali, kata bestfriend sangat!” marah Puan Hamidah. Amanda memang tak boleh diharap.
            “Yelah, yelah..baru nak rehat sikit pun dah kecoh” omel Amanda perlahan.
            “Rehat? Kamu penat buat kerja apa? Sapu sampah? Kemas rumah? Rumah dah runtuh pun belum tentu kamu buat!” bebelnya.
            Fiqri sengih gembira. Akhirnya, Amanda masuk ke dalam kolam ikan peliharaan milik keluarganya. Mulut muncung. Hati masih panas dengan Fiqri. Lelaki itu pula gembira sakan kerana dia tidak keseorangan melakukan kerja sebegini.
            Amanda memandang ikan kaloi yang bersaiz selebar dua tapak tangan itu. Ikan kesayangan abahnya. Tiba-tiba, Amanda mendapat satu idea nakal. Fiqri yang sedang mencuci lumut sambil bernyanyi kecil menjadi sasarannya. Senyuman sinis terbit di bibirnya.
            “Kau jangan nak gelak sangat. Aku sumbat ikan ni dalam mulut, naya kau. Memang tak merasalah si Nita tu nak suap kau time makan beradab nanti” Amanda melayang-layangkan ikan kaloi itu di hadapan wajah Fiqri.
            Fiqri telan air liur. Adakala Amanda boleh jadi pelawak dan adakala dia boleh jadi serius. Langkah keselamatan; berdiam diri.
            “Arrrhhh!” jerit Fiqri tiba-tiba. Kepala digeliatkan ke kiri dan ke kanan. Amanda berkerut. Aku belum baling lagi dia dah menjerit?
            “Kau kenapa?”
            “Be..belut. Kau bela belut ke?” Fiqri gagap. Jari ditunjukkan ke arah kakinya. Wajah tidak ditundukkan. Geli. Kaki terasa disedut-sedut.
            “Ini bukan belutlah Fiqri oi! Kau ni belajar masuk universiti tapi ikan bandaraya dengan belut pun tak kenal” bebel Amanda seraya mengambil ikan bandaraya dari kaki Fiqri.
            “Buang! Buang Aman! Aku geli!” Jeritnya lagi.
            “Ayunya kau jerit. Jerit sekali lagi boleh?” galak Amanda mengusik Fiqri. Ikan bandaraya diacah-acah kepada sahabatnya itu. Fiqri yang kegelian berlari menjauhi Amanda. Mereka berkejar-kejaran di dalam kolam tersebut. Mujur tak terpijak ikan-ikan di dalam kolam yang kian kering airnya itu.
            Entah tersalah langkah di mana, Amanda tergelincir dan ikan bandaraya tersebut tercampak keluar. Fiqri telan liur. Seorang jejaka yang berdiri merenung mereka sebentar tadi sudah berubah wajahnya.
            Bom akan meletup bila-bila masa. Fiqri menutup telinga dan bersedia untuk mendengar pekikan yang super kuat.
            “Whaattt the helllll!” Rayyan menjerit sakan apabila seekor ikan yang berkulit coklat hinggap di wajahnya.
            Amanda bangun dari jatuh dan terbeliak seketika. Matilah dia!




           



Older Post | Newer Post
Queen Of The Blog
Normah Zainul | 20 y/o | IPTA- somewhere in East Coast of Malaysia | Graduate soon | Love travel | Love history| Love writing | Love food

Quotes Of The Day
Writing is an exploration. You start from nothing and you learn as you go