NORMAH ZAINUL

Sexy Red Lips
Mini Novel: Encik Pemilik Hati 2
Ahad, 13 Mac 2016 | Mac 13, 2016 | 4comments

FIQRI menghidupkan motor Yahama C70 milik arwah abahnya. Sekali percubaan, tidak hidup pula. Dua kali percubaan, juga tidak hidup. Fiqri turun dari motorsikal. Entah apa pula masalahnya motor ini. Fiqri menepuk-nepuk seat motorsikal yang sudah koyak di merata-rata tempat itu. Masa orang nak gunalah dia nak rosak. Akhirnya, Fiqri mengambil keputusan untuk jalan kaki sahaja ke rumah Amanda. Ambil angin sambil buang lemak.
            “Nak kemana tu Pik?” soal emaknya yang berada di pintu dapur. Pelik juga tengok Fiqri keluar berjalan kaki.
            “Rumah Aman sekejap mak..” laung Fiqri yang sudah jauh di halaman rumah.
            “Kirim salam semua..”pesan emaknya.
            Fiqri mengangguk dan mengangkat tangan kepada emaknya. Langkah diteruskan menuju ke destinasi yang ingin dituju.
            “Perjalanan jauh tak ku rasa..kerna hatiku melonjak sama...ingin berjumpa Aman dan keluarga yang selalu bermain di mata..” Fiqri menyanyi riang dalam perjalanan menuju ke rumah Amanda. Sudah lama dia tidak bertemu sahabatnya itu.
            Pon! Pon!
            Fiqri terkejut. Langkahnya segera diatur ke tepi jalan. Mujur tak tergelincir masuk bendang. Kalau tidak, sia-sia perjalanannya ke rumah Amanda. Fiqri segera berpaling untuk melihat gerangan insan bertuah yang berani membunyikan hon kepadanya.
            Hafiz Talam mengangkat kening kepadanya. Bibirnya mengoyak senyuman. Fiqri mengetap bibir. Geram. Ingatkan siapa, rupanya mamat talam ni.
            “Kau ni Pit Talam. Buat terkejut aku saja. Kau nak ke mana?” soal Fiqri seraya menghampiri Hafiz Talam.
            “Minta maap ler, kau tu jalan tengah-tengah jalan. Aku nak  pergi ambik talam dekat rumah Cik Esah” Hafiz Talam sengih.

            Fiqri gelak besar. “Kau ni Pit, dari dulu sampai sekarang tak berubah. Talam aje yang kau pedulikan. Kali ini siapa pula yang nak kahwin?”
            Hafiz Talam memang terkenal di kampung ini. Terkenal dengan khidmat talamnya yang diperlukan ketika kenduri kahwin.
            “Aku, akulah nak kahwin. Nanti aku jemput kau ya Fiqri”
            “Perhh, Hafiz Talam dah nak kahwin oi. Bila Pit?” Fiqri terkejut. Aku yang boleh tahan kacak ni pun belum kahwin lagi, Hafiz Talam yang muka ala-ala talam ni pula yang nak kahwin dulu.
            “Tak tetap tarikh lagi. Tunang aku belajar lagi. Tahun depan baru habis...”
            “Oh, macam. Dah tu kau nak pergi ambik talam buat apa? Naik motor pulak tu” Fiqri naik hairan.
            “Hehe, aku nak jemur ikan kering. Talam tu kan turun temurun dari nenek moyang aku, mak aku kata kalau nak ikan kering sedap kena jemur atas talam tu..”
            Sekali lagi Fiqri gelak besar. Hafiz Talam masih tidak berubah. Polos benar. Percaya apa sahaja yang orang katakan padanya. Macam manalah tunang dia boleh sangkut.
            “Kau ni masih tak berubahlah Pit..” Fiqri cuba berhenti gelak.
            “Hehe mestilah aku tak berubah. Eh kau nak ke mana tadi? Nak aku tumpangkan ke?” pelawa Hafiz Talam.
            “Nak ke rumah Amanda. Tak payahlah Pit. Risau aku naik dengan kau, karang tak pasal-pasal aku mandi lumpur..” Fiqri menolak pelawaan Hafiz Talam.
            “Oh kalau macam tu hati-hatilah ye. Kalau lalu depan rumah Mak Bidan, jangan tenung rumah dia lama-lama. Nanti ada makhluk lain yang jengah kau. Selamat jalan..byeee” Hafiz Talam memecut motornya tanpa sempat Fiqri bertanya dengan lebih lanjut.
            Malas ambil pusing, Fiqri meneruskan perjalanan. Kata-kata Hafiz Talam hanya singgah di telinganya. Siapa yang nak percaya kata-kata Hafiz Talam. Ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Sikapnya yang polos itu membuatkan dia sukar dipercayai.
            Perjalanan yang ditemani pemandangan sawah yang cukup indah menambahkan lagi keriangan di hati Fiqri. Lama tak jumpa Aman, rindu pula nak bertekak dengan minah seorang itu.
            Sebaik sahaja tiba di depan rumah Mak Bidan, Fiqri memberhentikan langkahnya, dia terjenguk-jenguk ke arah rumah itu. Sebuah rumah usang yang sudah lama tidak didiami orang. Pasti...ah, mengarut sahaja.
            Tetapi, kata-kata Hafiz Talam terus menerus menganggu pendengarannya.
            Malas ambil pusing, Fiqri menapak semula meneruskan perjalanan yang tergendala. Baru sahaja melangkah dua tapak, seluarnya seakan-akan ditarik dari belakang. Fiqri tergamam. Adakah kata-kata Hafiz Talam benar?
            Fiqri keras tidak bergerak. Fiqri tidak berani untuk berpaling.
            Dan kali ini makhluk tersebut makin mengganas. Punggung Fiqri disudu dengan kejam. Fiqri menjerit kesakitan. Dia memberanikan diri untuk berpaling.
            Sebaik sahaja berpaling, dia segera membuka langkah seribu. Angsa! Bukan hantu tapi angsa! Beberapa ekor angsa mengejar Fiqri dari belakang. Punggung yang terasa sakit akibat disudu membuatkan Fiqri tidak mampu berlari laju.
            Hafiz Talam berpatah balik setelah menyedari dia tertinggal sesuatu di rumah. Fiqri segera menahan Hafiz Talam yang kelihatan laju memecut. Hafiz Talam segera berhenti dan menyuruh Fiqri memboncengnya.
            “Makhluk ni ke yang kau kata tu Pit?” soal Fiqri setelah keadaan agak reda.
            “Aah, angsa tu selalu kacau orang kampung. Habis budak-budak balik mengaji disudunya”
            “Kau bawak motor jangan laju sangat. Pedih punggung aku kena sudu Kalau aku dapat tangkap angsa itu, aku buat kenduri satu kampung..Aduh, sakitnya!” Fiqri mengaduh kesakitan. Punggungnya pedih. Tak guna punya angsa. Kurang aset aku.
            “Itulah, kan aku sudah pesan tadi. Hati-hati” bebel Hafiz Talam.
            “Diamlah Pit, punggung aku pedih ni. Karang sekejap lagi hidung kau pulak yang pedih kena tumbuk”
            “Hehehe...janganlah marah”
            Setelah melewati perjalanan yang tidak berapa jauh itu, akhirnya mereka sampai di depan rumah Amanda.
            Fiqri turun dari motor. Ucapan terima kasih mengiringi pemergian Hafiz Talam. Dengan langkah yang agak pelik, Fiqri masuk ke perkarangan rumah Amanda. Pintu rumah diketuk dan salam dihulurkan.
            “Waalaikumussalam. Ha kamu ni dari mana Fiqri? Tak dengar bunyi motor  pun. Yang kamu basah-basah ni kenapa? Tangan tu kenapa pegang punggung. Kamu cirit dalam seluar ye?” sembur Puan Hamidah yang membuka pintu rumah.
            “Bukan cikgu, tadi saya jalan kaki ke sini. Alih-alih kena sudu dengan angsa. Cikgu, Aman ada dekat rumah?” Fiqri menjenguk kepala ke belakang Puan Hamidah.
            “Aman ada..Dia tengah kemas bilik” jawab Puan Hamidah senada. Dia sebenarnya agak tidak senang dengan persahabatan Fiqri dan anaknya. Bukan apa, anaknya itu perempuan dan Fiqri pula lelaki. Bahaya. Berlainan jantina.
            “Eh kemas bilik?” soal Fiqri perlahan. Buat pertama kalinya dia dengar Amanda kemas bilik.
            “Masuklah dulu, sembang dengan Abah Aman..” pelawa Puan Hamidah. Meskipun dia agak keberatan dengan persahabatan mereka, Fiqri masih tetamu. Dia wajib melayan tetamunya sebaik mungkin.
            Fiqri melangkah masuk ke dalam rumah dan menuju ke ruang tamu.

AMANDA merebahkan tubuh di atas katil. Penatnya macam pergi berperang pula. Baru sahaja matanya hendak terkatup, pintu bilik dibuka dari luar. Wajah Puan Hamidah menjengah masuk. Pandangan mata meliar di sekeliling bilik anak perempuannya itu.
            “Congrats! Barulah sedap sikit mata memandang. Cantik, kemas dan rapi. Good job Aman. Kamu bukannya tak boleh kemas bilik sendiri cuma malas saja. Buang habit buruk tu!” Puan Hamidah mengusap kepala anaknya. Dia tidaklah sekejam mana, cuma mahu mengajar anaknya itu berdikari.
            “Hadiah?” Amanda membuat muka simpati.
            “Senduk nak? Sudah, turun bawah. Fiqri datang nak jumpa kamu” arah Puan Hamidah.
            “Mak, suruh Fiqri naik bilik Aman..” rengek Amanda yang kepenatan.
            “Kamu nak kena tangkap basah ke Aman? Dia itu lelaki, kamu perempuan. Mana boleh lepak dalam bilik nanti tak pasal-pasal emak jadi nenek ekspress. Turunlah bawah, exercise sikit!” Puan Hamidah bercekak pinggang.
            Amanda mencebik. Gurau sikit pun tak boleh. Amandu melangkah dengan malas.
            “Kut ya pun tak sabar nak jumpa boyfriend forever kamu tu, pakailah tudung. Tutup sikit aurat tu..Sampai bila nak dedah sana sini? Tak kesian dekat emak dengan abah ke?” nasihat Puan Hamidah. Tuala yang tersidai di penyedia segera disangkutkan ke kepala anaknya.
            “Ala..mak, Aman belum sedialah. Nanti Aman dah sedia, bukan kepala je Aman tutup, semua Aman tutup. Don’t worry ya mak” Amanda beri alasan.
            “Tak sedia..tak sedia. Dah tu bila nak sedia? Nak tunggu sakaratul maut datang baru nak sedia? Kita ni Aman, amal ibadat sudahlah sikit. Sedekah jariah entah ikhlas entah tidak. Jadi janganlah tambah dosa yang sedia ada dan jangan kurangkan pahala yang sedia sedikit”
            “Uish mak, ayat makan dalam.Terpanah tepat dekat hati Aman. Haha” 
            Sebaik sahaja Puan Hamidah berlalu, Aman kembali menyidai tuala di tempat yang sepatutnya. Dia terus melangkah menuruni tangga. Meskipun kata-kata emaknya ‘shot’ tepat di hati, tapi dia masih belum bersedia untuk berubah.  
            Figura Fiqri yang sedang rancak bersembang dengan abahnya segera dihampiri.
“Fiq” panggil Amanda.
            “Aman, gila lama tak jumpa. Kau sihat ke? Asal aku tengok kau macam dah gemuk sikit?”
            Amanda mencebik. Spoil!
            “Kau! Gemuk, gemuk jangan sebut okay. Sensitif. Ala biasalah kalau naik sikit tu, lagipun aku masih dalam kategori kurus okay” Amanda bela diri. Fiqri cuma gelak. Sensitif benar orang perempuan bila sebut hal itu.
            “Jom keluar” ajak Amanda.
            “Mana?” Fiqri menaikkan kening.
            “Adalah” Amanda terus menarik tangan Fiqri.
            “Eh, nak kemana ni?” soal Encik Azizi hairan. Dia yang berada di situ ibarat tunggul apabila tidak dipedulikan anaknya. Jumpa kawan terus lupa Abah sendiri.
            “Kalau mak tanya cakap Aman pergi kedai beli aiskrim. Bye” Amanda segera menarik tangan Fiqri keluar dari rumah. Encik Azizi menggeleng kepalanya. Belum sempat dia berkata apa-apa, Amanda dan Fiqri sudahpun berlari keluar. Bertuah punya anak!
            Puan Hamidah yang baru sahaja keluar dari dapur mula berkerut. Kemana pula perginya Fiqri? Amanda juga tiada. Something smell fishy here. Puan Hamidah segera melajukan langkah dan menuju ke suaminya.
Duduk dilabuhkan di sebelah Encik Azizi yang ralit melihat skrin telefon bimbitnya. Senduk yang dipegangnya tadi diletakkan di atas meja kopi di hadapan Encik Azizi. Kain Good Morning yang tersangkut di bahu segera digunakan untuk mengelap dahi. Peluh.
“Ke mana budak berdua tu pergi?”
“Ke kedai beli aiskrim katanya..” Encik Azizi menjawab ringkas.
“Dah besar panjang pun mengada nak beli aiskrim. Itu alasan je tu, padahal nak pergi lepak” bebel Puan Hamidah. Mulutnya tak henti-henti mengomel. Tak puas hati!

“Biarlah dia keluar, kalau dia duduk rumah buat konsert awak jugak bising nanti” Encik Azizi bangun dari duduk. Malas mahu bertekak dengan isterinya. Kenal sangat dengan Cikgu Midah, ingat senang-senang nak berhenti membebel? Mimpi.

Older Post | Newer Post
Queen Of The Blog
Normah Zainul | 20 y/o | IPTA- somewhere in East Coast of Malaysia | Graduate soon | Love travel | Love history| Love writing | Love food

Quotes Of The Day
Writing is an exploration. You start from nothing and you learn as you go