Mini Novel: Encik Pemilik Hati PROLOG
Jumaat, 18 Disember 2015 |
Disember 18, 2015 | 8comments
PROLOG
Suatu ketika dahulu...
P
|
UAN HAMIDAH muncung sakan.
Cawan plastik yang dibasuhnya dihempas ke dalam sinki sebelah. Encik Azizi yang
mengintai di pintu dapur mengeluh panjang. Isterinya itu kalau merajuk bukan
sehari dua. Sudahlah susah nak pujuk.
Encik Azizi
melangkah masuk ke dalam dapur. Dia berdiri di tepi isterinya. Puan Hamidah
yang menyedari kehadiran suaminya segera beralih sedikit bagi menjarakkan
dirinya. Encik Azizi tidak mengalah. Dia merapatkan badan ke arah isterinya
sehingga tiada ruang di antara mereka. Puan Hamidah cuba menjauh tetapi
terhalang oleh kabinet berbentuk L. Dia merengus kasar.
“Beri saya 3 sebab
kenapa saya wajib bawa awak pergi konsert tu” arah Encik Azizi yang mula
mengalah. Orang mengandung ini lain macam sikit sensitifnya.
“Pertama..Sebab
anak awak dalam perut ni gedik sangat nak tengok rocker terkenal tu.
Kedua, sebab saya dah lama tak terlibat
dalam aktiviti luar. Nak poco-poco pun dah tak larat dan yang ketiga sebab awak
dah janji..” Puan Hamidah sengih. Tahu benar yang suaminya akan mengalah.
“Tapi Midah..Awak
pun tahukan..Awak itu mengandung, tak elok pergi ke tempat-tempat macam itu. Lebih
baik awak ikut saya dengar ceramah kat surau..” nasihat Encik Azizi yang
bimbang dengan keadaan isterinya.
“Sekali sekala
saya naklah juga berhibur. Takkanlah saya nak dengar ceramah agama 24 jam..”
mood Puan Hamidah berubah.
“Tak baik cakap
macam tu Midah. Hidup kita ni kena selalu mencari ilmu agama bukannya
terkinja-kinja dekat konsert tak berfaedah awak tu. Sudahlah malas saya nak
layan awak. Saya tak benarkan awak ke sana, duduk rumah tengok konsert di
televisyen sahaja” Encik Azizi sedikit terkesan dengan kata-kata isterinya.
Puan Hamidah yang kini agak berbeza. Garangnya melampau-lampau. Degil. Cakap pun
main lepas sahaja. Minta-minta tidak turun ke anaknya nanti.
Puan Hamidah tidak
berpuas hati. Pinggan disusun kasar di rak. Ini tak boleh, itu tak boleh. Dia
bukannya boneka di rumah ini. Dia juga ingin keluar dari kepompong kecil ini.
Dia ingin melihat dunia dan yang paling penting dia ingin melihat konsert rock
itu buat kali pertama dan terakhir sebelum melahirkan anak.
“Sabarlah Midah,
mak tahu apa yang kamu rasa. Kita orang perempuan tak sama macam laki-laki.
Kita mengandung, mengidam..Mereka apa yang tahu. Nanti mak bawa Midah ke
konsert tu tapi dengan syarat...” Mak Mertuanya mengusap-ngusap belakang Puan
Hamidah. Dia terdengar perbalahan kecil antara anak dan menantunya sebentar
tadi. Bukan niatnya ingin masuk campur, dia cuma mahu menghilangkan kempunan
orang mengandung sahaja.
“Syarat? Apa dia
mak?” Puan Hamidah tersengih gembira. Bahu mak mertuanya dipeluk kemas.
“Syaratnya...Ini
kali pertama dan juga kali terakhir dalam hidup kamu. Mak tak nak lepas ni kamu
terlibat lagi dengan dunia rocker ni.Tak nak sama sekali!” tegas mak
mertua Puan Hamidah.
“Okay mak, Midah
janji. Lagipun bukan Midah nak sangat pergi tapi baby dalam perut ni
yang beria nak tengok..” Puan Hamidah memeluk mak mertuanya.
“Ini rahsia kita
berdua sahaja. Jangan beritahu sesiapa...” pesan mak mertuanya. Puan Hamidah
mengangkat tapak tangan tanda berjanji. Perasaan gembira melonjak-lonjak di
hatinya. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Tertunai juga hajatnya...